Ahad, 3 Julai 2016

AUCKLAND NEW ZEALAND

Kia Ora! Kia Ora! yang bermaksud hello menyambut kehadiran kami di bumi Kiwi.  New Zealand atau Aotearoa bermaksud tanah awan putih yang panjang dalam bahasa Moari ini,  mempunyai jumlah  kaum Polynesia  teramai di dunia.  Negara yang terkenal dengan pasukan ragbi All Black ini juga mempunyai landskap dan keindahan alam semulajadi yang sangat mempesonakan.  Transit selama satu jam di Gold Coast, kapalterbang Air Asia mendarat di lapangan terbang Auckland jam 4.25 petang seterusnya merealisasikan impian kami.

Auckland dikenali sebagai City of Sails, adalah kota terbesar di New Zealand dan paling ramai penduduk,  sinonim dengan gelarannya,  banyak aktiviti pelayaran, berenang dan memancing di lakukan di sini.   
Sepanjang perjalanan ke hotel kami disajikan dengan pemandangan yang indah dan kami kagum melihat keupayaan penduduk di sini mengekalkan senibina rumah tradisional  kedesaan Inggeris.  Rumah kayu berberanda,  berpagar kayu, pagola yang dihiasi pohon menjalar di atasnya dan bunga-bungaan seperti dodofil, ros  dan bungaan renek pelbagai warna mengikut musim menghiasi halaman rumah. Sangat sukar melihat bangunan tinggi di sini kecuali di Auckland.  
Hati tidak keruan saat melihat pohon epal merah dan pear, berbuah lebat dan rendang di perkarangan  rumah mereka.  
Kami  daftar  masuk  di Waldorf Celestion Apartment yang terletak  dikawasan yang sangat strategik,  berhampiran  dengan  Queens  street  Mall,  Sky  Tower, pelabuhan Viaduct  dan University of Auckland.   
Berjalan santai menikmati keindahan Auckland,  beberapa kali kami di sapa ramah selamat petang oleh penduduk tempatan yang pernah ke Malaysia, maklum balas mereka, lapangan terbang antarabangsa Malaysia sangat cantik dan nasi lemak pula sangat sedap, sementara penduduk tempatan muslim pula mengambil peluang menikmati sepuas-puasnya KFC dan Mc Donald Halal di Malaysia.  
Berpapasan dengan ramai pelajar  Malaysia yang menuntut di University of Auckland,   menambah keterujaan kami untuk menjelajah persekitaran Universiti terbuka itu yang  cuma 5km sahaja dari Hotel.  Berkedudukan di atas bukit dan mengadap laut, University ini juga menawarkan lokasi pemandangan yang mengasyikkan. Tercapai juga hasrat kami untuk memahat kenangan dihadapan universiti terbesar dan tersohor di New Zealand ini dan sempat pula menitip pesan buat anak bangsa agar maju jaya.
Hujan renyai-renyai tidak kami endahkan, Auckland mesti diterokai, puas menyelusuri kedai-kedai, kami singgah di Sky Tower,  terdapat beberapa aktiviti ekstrem boleh dilakukan di sini dan pemandangan malamnya juga sangat menakjubkan.


     seterusnya kami menyusur pula ke pelabuhan, berbagai-bagai jenis kapal layar mewah dan feri berlabuh di sini.
Muzium Maritim pula menawarkan pakej tiket masuk muzium dan cruise ke pulau-pulau berhampiran, seperti Waitake Island, coromondel island dan lain-lain.

Berjalan-jalan di dermaganya atau berehat santai, menikmati angin petang, sambil menyaksikan pemandangan kapal-kapal mewah, feri dan camar laut yang berterbangan bebas, berteriak nyaring menyambar sang ikan, sangat manis untuk dikenang.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan