Isnin, 19 Jun 2017

ROTORUA - NEW ZEALAND

Bau aneh iaitu bau sulphur yang berasal dari wap air yang masih meletus, memenuhi ruang udara Rotorua, yang khabarnya dibina di atas tapak gunung berapi yang tidak lagi aktif.  Selesai mendaftar masuk ke Pohutu Lodge Motel, kami bersiar-siar di sekitar motel untuk mengenali budaya dan cara hidup penduduk tempatan.  
Perkampungan ini sunyi dan kami merasa agak pelik kerana tidak bertemu langsung kanak-kanak/remaja yang bermain/ lepak di luar rumah seperti lazimnya di Malaysia.  Kebanyakan rumah di sini, dibina di atas tanah lot, bersenibinakan kedesaan Inggeris, tiada rumah teres apatah lagi flat.   

Menyelusuri kampung ini, kami berhenti di hadapan sebuah rumah kerana teruja melihat pohon limau gedang yang berbuah lebat dan ranum, tiba-tiba seekor kucing comel dan gebu berlari ke arah kami menyebabkan tuan rumah keluar, kami meminta izin bergambar, bagai orang mengantuk disorong bantal, kami diberi sebiji seorang, buah limau gedang (grapefruit) yang manis dan bersari,  
          Fizikal besar, tinggi dan berwajah garang, tidak melambangkan sifat sesuatu kaum.  Di sisi lain semangat manaakitanga (sifat ramah) mereka terzahir melalui sapaan kia ora dan senyuman yang tidak lekang di wajah. 
Lambang budaya, arca gerbang berukir menyambut kehadiran kami di Whakarewarewa Thermal Village.  
Bertujuan melindungi keluarga dari penceroboh ketika keluar berburu/berjuang, kaum Moari membina pintu dan tingkap rumah, lebih rendah dari fizikal mereka. Penceroboh terpaksa membongkok dan menundukkan kepala untuk masuk ke rumah, menyebabkan orang di dalam rumah sudah bersedia untuk mengetuk kepala penceroboh. 
Tradisi cara memasak juga sangat unik, makanan seperti sayur-sayuran, jagung, kentang, daging dan ayam diletakkan di dalam keranjang, dibalut dengan kain/guni basah kemudian dimasukkan ke dalam hangi ngawha (ketuhar semulajadi), tanah dan batu panas di geyser itu akan menyebabkan makanan itu masak secara semulajadi.   
Persembahan budaya  kaum  Moari dimulakan  dengan  upacara    menyambut     tetamu     diikuti    dengan     tarian whakarerewa     yang    diiringi     dengan    lagu  dan  muzik tradisional.   Tarian ini bertujuan untuk menaikkan semangat para pahlawan sebelum pergi berjuang.  

 Peluang   melihat   burung  kiwi   yang   hampir    pupus  di dalam   bilik   gelap   sangat  berharga,  burung  kiwi  yang  saiznya  sebesar  seekor ayam ini tidak boleh  terbang, tetapi boleh berlari selaju 35km sejam.

Menakjubkan!!! Itulah yang dapat dikatakan saat melihat ciptaan Allah ini, pohutu geyser Te Puia iaitu mata air semulajadi yang mendidih ini, boleh menyembur sehingga mencapai ketinggian 30 meter dan meletus sehingga 20 kali sehari, 
sementara kolam lumpur yang mengelegak seperti dodol di dalam kawah itu, khabarnya bagus untuk kecantikan kulit.  Banyak juga produk kecantikan berasaskan lumpur, dijual di kedai cenderahati di sini. 
             Terpegun kami melihat keindahan warna tasik air panas yang berwarna hijau kebiru-biruan dan disinilah dikatakan tempat pahlawan-pahlawan Moari berendam, menyuci diri sebelum pergi berjuang.  Demi untuk mendapatkan kekuatan/ semangat menahan wap panas tersebut, mereka akan menjerit sekuat-kuat hati sehingga terjelir lidah dan mata terbeliak, seterusnya ianya kekal menjadi tradisi sehingga kini.   
      

Selepas makan tengahari, kami berehat di Tasik Rotorua, ramai pengunjung berehat sambil menikmati pemandangan indah di sini.   



Bunga Ros pelbagai warna menyerikan kawasan di Rotorua Government Garden, selepas memotret kenangan, kami singgah di Park & Save, membeli buah-buahan segar dan coklat berjenama untuk di bawa pulang.  
Kekangan masa telah menyebabkan kami tidak sempat menikmati keindahan Redwood Forest.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan