Selepas daftar keluar hotel, kami
bersarapan pagi di restoran Bangnara Roti & Coffee, yang juga menawarkan makanan pantai timur dan
roti canai, istimewanya nasi kerabu di
sini, selain dari ulaman yang banyak, terdapat ikan bilis goreng garing yang di
kisar kasar, kemudian ditabur di atas nasi kerabu, menjadikan makanan itu lebih
perisa dan sedap.
Destinasi seterusnya kami singgah
di Gua Le Khao Kob, terletak di Huai Yot
di Wilayah Trang, gua ini boleh diakses dengan perahu kayu bermuatan 5 – 6
orang. Aktiviti ini , permulaannya
sangat santai, seterusnya merupakan pengalaman seumur hidup yang sangat
mencabar dan agak mengerunkan.
Perahu
menyusuri sungai sehingga sampai kemulut gua, dan kami diminta untuk
merendahkan diri kerana bumbung gua yang rendah dipenuhi stalagmite dan stalatit yang berceracak.
Perahu berhenti dan kami di bawa berjalan di atas laluan yang disediakan untuk
menikmati keindahan pelbagai formasi stalagmite dan stalatit, ada yang berbentuk seakan-akan kaki gajah,
aiskrim, payung, cendawan dan lain-lain.
Peringkat terakhir pula, kami menaiki perahu semula dan diminta
berbaring, kerana bumbung gua yang semakin rendah, dipenuhi batu berceracak
yang mengerutu, dan rakyat tempatan pula mengelarnya perut naga.
Suasana gelap dan dingin, hanya berpandukan
cahaya lampu suluh, yang kedengaran cuma jerit pekik di dalam gua bergema,
bersahut-sahutan, menyebabkan hati
tertanya-tanya apa yang terjadi, perahu
melalui laluan sempit semuat-muat perahu.
Gambaran perasaan waktu itu, hanya Allah yg tahu, terasa insaf dan
beristighfar tanpa henti, umpama berada di dalam lubang kubur, gelap, sempit
dan semakin jauh perahu masuk ke dalam, dinding gua semakin menghimpit dan bumbung
gua yang mengerutu semakin rendah, sehingga adakalanya hanya berjarak
seinci sahaja dari badan dan muka. Cahaya matahari yang menerobos melalui
celahan dinding gua melegakan kami, menamatkan pengembaraan yang penuh
cabaran.
Nasihat penting untuk
pelancong, supaya tidak mencuba aktiviti ini selepas hujan, kerana air sungai
yang meningkat menyebabkan perahu akan santak ke bumbung gua dan boleh
mengakibat kecederaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan