Destinasi seterusnya kami ke Vienna atau
Wien dalam bahasa Jerman dan menginap di
hotel Karl-Wirt. Negara kelahiran pemuzik terkenal Mozart ini, merupakan kota yang penuh dengan kesenian, muzik opera
dan ibu negara Austria. Menyelusuri
sejarah Vienna, kami nikmati keindahan senibina bangunan bersejarah seperti parlimen, opera house dan lain-lain
melalui Ringstrasse iaitu lingkaran
jalan yang mengelilingi Kota tua Vienna.
Bas berhenti di hadapan Maria
Theresa Monument yang terletak di tengah-tengah di antara Muzium
Kunsthistorisches dan Art History Muzium.
Kami
meneruskan perjalanan ke Hofburg Imperial Palace yang menyimpan koleksi sejarah
suka duka monarki Hasburg yang institusi berajanya telah berakhir pada tahun 1918. Di dalam istana ini juga, terdapat Muzium Sisi iaitu muzium
khas Pemaisuri Elisabeth/Sisi yang berasal dari Bavaria yang merupakan isteri
King Franz Joseph I yang terkenal kerana kejelitaannya, personaliti yang
menarik dan agak misteri. Muzium ini mempamerkan kira-kira 300 koleksi peribadi
seperti pakaian, puisi, petua kecantikan
dan lain-lain. Sejarah hidupnya dari kecil, perkahwinan, penderitaan dan
pembunuhannya, sangat menarik untuk dikaji.
Persekitaran ini juga bebas dari sebarang kenderaan
bermotor, hanya boleh dijelajahi dengan berjalan kaki/menyewa kereta kuda yang
dikendalikan oleh lelaki yang memakai busana seperti pemain polo kerabat diraja
Eropah. Bagaikan explore race kami
susuri jalan Kohlmarkt dan Graben yang merupakan surga membeli belah, dipenuhi deretan
butik-butik mewah seperti Burberry, Adidas, Bally, Gucci dan lain-lain. Perkarangan Stephensplatz, iaitu gereja St
Stephens yang unik dan bersenibina gothic yang terletak dipersimpangan jalan
pula dipenuhi orang ramai, santai berbual sambil menikmati kopi yang sememang
budaya orang Eropah. Masa yang ada, kami
manfaatkan sepenuhnya, terlalu banyak yang perlu di lihat dan dijelajahi, membeli
belah bermakna kami kehilangan waktu meneroka keindahan dan sejarah Vienna.
Selesai
membeli sedikit cenderahati untuk kenangan, kami singgah di Pusat Islam Vienna,
terletak dipersekitaran yang sangat tenang, di kanannya terdapat sungai yang
mengalir jernih, kelihatan beberapa orang penduduk sedang berkelah dan memancing. Vienna pernah berada
di bawah pengaruh kerajaan Turk Ottoman dan dari situlah Islam mula berkembang
di sini. Diperkarangan dan di dalam pusat Islam pula dipenuhi orang kerana waktu
itu baru selesai kelas agama, majlis pernikahan dan solat zuhur.
Pengalaman
dan memori indah sepanjang berada di Itali dan Vienna ini sangat berharga untuk
dikenang dan menambahkan lagi warna dalam hidup kami apatah lagi berpeluang bertemu ramai kawan-kawan baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan