Rabu, 28 Januari 2015

JOHOR BHARU - SINGAPURA


JOHOR BHARU - SINGAPURA    

Setelah beberapa kali membuat rancangan melancong ke Johor Bharu/Singapura, akhirnya tercapai jua hasrat itu pada 21/12/2013 dengan kos pakej cuma RM390.00 utk pengangkutan, hotel dan tiket.   Bertolak seawal jam  8.00 pagi ke  Johor Bharu sebagai tempat transit ke Singapura,   tempat persinggahan  pertama kami adalah Johor Premium Outlet (JPO) untuk membeli belah dan makan tengahari.  Pelbagai  jenis makanan tempatan dan antarabangsa terdapat disini.  Sempena Hari Krismas yang bakal tiba, pelbagai barangan berjenama terkemuka ditawarkan dengan harga jualan murah.  Walau bagaimanapun, kehadiran ramai orang termasuk pelancong  asing dan terpaksa beratur panjang di beberapa premis popular serta kekangan masa, menyebabkan kami memilih untuk menjelajah JPO hampir keseluruhannya, kerana Landskap JPO terutama deretan premisnya yang hampir sama seperti di Harbour Town, Gold Coast, Australia itu berjaya mencuri perhatian dan mengundang  nostalgia kami.   
Kami check in di Hotel Grand Blue Wave, Johor  Bahru.  Makan malam dipersisiran pantai tambak Johor sambil menikmati keenakan mee rebus Johor Bharu serta menyaksikan keindahan Singapura diseberang tambak amat menyeronokkan.   Selesai makan, kami  singgah ke The Zon iaitu premis  yang menawarkan barangan bebas cukai seperti pakaian, coklat  dan lain2.    Berjalan santai pulang ke Hotel, kami melihat  penduduk tempatan bersama keluarga menghabiskan malam minggu mereka, duduk berbual,  sambil makan makanan ringan dan menikmati panorama  limpahan pantulan cahaya lampu dari Singapura yang membias kepermukaan air yang berombak kecil sehingga menghasilkan alunan cahaya berbalam-balam yang menarik.  Kami juga sempat beramah mesra dengan penduduk tempatan yang sedang menangkap ikan secara tradisional ditepi pantai, kepakaran mereka terbukti bilamana dalam masa setengah jam sahaja setengah baldi ikan sebesar lengan dapat didaratkan, sementara sebahagian ahli rombongan menaiki teksi untuk ke Danga Bay dan downtown Johor Bharu.


Selesai  bersarapan di hotel jam 7.30 pagi, kami check out dan melalui tambak Johor untuk ke Singapura. Sebelum sampai ke Singapura kami terpaksa melalui dua pemeriksaan imigresen, pemeriksaan passport sahaja di Imigresen Malaysia, sementara pemeriksaan beg dan passport di Imigresen Singapura.  Sekilas pandang, landskap Singapura seakan-akan Pulau Pinang dengan deretan pepohon jati memayungi jalan.   
Kami terus ke Universal Studio, sebuah taman tema yang cantik dan unik di Pulau Sentosa.  Taman  seluas 50 ekar itu, dibuka/dirasmikan  pada Mei 2010  adalah yang kedua di Asia selepas Jepun,  menawarkan tujuh zon seperti The Lost World, Far-far Away, Madagascar, New York  Ancient Egypt, Sci-Fi City dan Hollywood.  Pesona pelbagai watak kartun, Adiwira, pelakon lagenda seperti Marilyn Monroe, Charlie Chaplin, Frankensteins’ Monster dan lain-lain serta permainan yang pelbagai benar-benar menarik perhatian.  Keterujaan kami terserlah, bilamana seawal minit taklimat ringkas diberikan, sebahagian ahli rombongan sudah hilang dari pandangan.   

Perkara pertama yang kami lakukan  ialah mengambil brosur USS, ianya penting untuk merancang masa, permainan  dan pertunjukan yang diadakan pada hari itu supaya lebih teratur.   Kami terus ke Madagascar untuk menaiki bot yang mengembara seolah-olah berada di dalam hutan Afrika, meneroka gua, air terjun dan jeram sambil dihiburkan watak2  kartun Madagascar dan binatang liar.  Di akhir pengembaraan, bot itu seperti naik ke atas sedikit dan terhempas menyebabkan kami menjerit dan sedikit kebasahan.  Seronok…  Selesai mengembara di ruang legarnya terdapat karakter2 kartun Madagascar membuat pertunjukan, selesai pertunjukan kami dibenarkan bergambar dengan watak2 tersebut.  . 


   Far Far Away Castle yang menaranya berketinggian 40 meter umpama istana zaman silam Inggeris.  Memakai cermin mata 4D, kami seolah2 dibawa bersama mengikuti pengembaraan Fiona dgn  Shrek,  bila watak2 itu menaiki  kereta kuda/naik bot, kerusi kami bergegar  seperti naik kuda, bila datang labah2, terasa seperti labah2 tu menjalar di kaki dan bila keldai bersin, terpercik air kemuka kami.  Enchanted Airways iaitu Roller Coaster mini  dan Canopy Flyer  (seperti buaian yang kedua kaki tergantung)  pula menunggu  pengemar yang ingin mengalami pengalaman mendebarkan sebelum mencuba pula Battlestar Glactica yang lebih mencabar.

 


Seterusnya kami ke Water World, kami memilih untuk duduk di belakang kerana jika dihadapan habis basah disiram oleh pelakon2 semasa mereka melawak sebelum pertunjukan aksi bermula.  Pertunjukan aksi ini sgt professional, ada aksi stunt, tembak menembak, terjatuh terus ke dalam air dari menara tinggi, kejar mengejar dgn bot, jet ski, kapal terbang,  letupan dan berakhir dengan kemenangan watak baik.  

       Zon tema  seterusnya ialah Ancient Egypt,  di sini  terdapat permainan revenge of the Mummy, melihat & mendengar pengalaman seram kawan2,  di bawa mengembara ke  alam mumia menaiki kereta, terjun  gaung, berundur perlahan2 kemudian berpusing serta meluncur  dengan kelajuan bagai nak terbang, terpaksalah kami abaikan.   


        
Kami  memilih Treasure Hunter, iaitu   pengembaraan  dengan Jeep melalui   kawasan binatang liar seperti buaya, harimau, ular, labah2 besar sebelum  jumpa harta karun.  Makan tengahari pula,  kami memilih untuk keluar  di kawasan yg terdapat Globe USS itu  kerana di situ harganya  lebih murah.


     








Selesai makan, kami ke zon Sci-Fi City, di sini terdapat roller coaster Battlestar Galactica, kedengaran suara2 kehampaan  terutama golongan remaja kerana ianya tidak dibuka.  

 
Seterusnya kami keTransformers The Ride, kami terpaksa  beratur hampir 45 minit,  memakai spek 3D dan dibawa mengembara dalam sebuah kereta ke alam transformer, pertempuran antara watak jahat dan baik, seolah2 apa yang berlaku di screen itulah yang kami rasakan dalam kereta, terhentak, terjatuh bangunan, diselamatkan, ribut melanda hingga terasa percikan air dan sebagainya,  memang seronok  dan mendebarkan.

Tarian KPop dan Gangnam stail oleh lima orang jejaka, di samping lawak jenaka sangat menghiburkan terutama kanak-kanak  menyambut kami sebelum kami singgah  di Show Lights, Camera Actions,  di bawa ke alam pengambaran filem arahan Steven Spielberg, dipersembahkan pula  idea-idea bagaimana aksi kesan khas dilakukan, sangat mengujakan, ada ribut, petir, kebakaran, tingkap pecah  dan kapal besar muncul… memang hebatlah, Nampak macam benar2  terjadi. 
Dalam perjalanan keluar kami terserempak dgn Marilyn Monreo , Frankensteins’ Monster dan beberapa karekter lain yang sedang bersedia untuk perarakan,  memang agak mengecewakan  juga bila tidak sempat menyaksikan perarakan tersebut kerana itulah acara kemuncaknya di samping dapat melihat semua karakter yang tidak sempat ditemui.   Sehari suntuk di sini sebenarnya tidak cukup untuk meneroka dan mencuba semua permainan di sini, kami tinggalkan USS untuk ke destinasi seterusnya.

MASJID SULTAN DAN ARAB STREET

    Destinasi seterusnya kami di bawa ke Masjid Sultan untuk solat Jamak.  Kami terserempak dengan kumpulan terakhir pelancong asing yang melawat Masjid Sultan.  Masjid  yang  masih memelihara dan mengekalkan  kesenian senibina Melayu ini dibina oleh Sultan Hussain dari tahun 1824 – 1826.  Selesai solat, kami diberi sekotak kuih yang disedekahkan pengunjung masjid.  Selain keindahan, pengurusan dan kebersihannya amat mengagumkan, terasa ketenangan dan terharu dengan nilai sejarahnya.

Berada di sini kami mengambil kesempatan membeli belah di Bushrah Street, deretan kedai yang terdapat di depan masjid masih  mengekalkan ciri-ciri senibina Melayu.  Beraneka barangan seperti kitab-kitab, fridge magnet,  rantai kunci, baju dan lain-lain di jual disini dengan harga yang sangat berpatutan.  Kemudian kami ke Arab Street pula, menariknya, semua nama jalan di sini di beri sentuhan nama Arab seperti Muscat, Oman, Bushrah dan lain-lain.  Di sini kami menikmati murtabak Singapura yg popular, lebih besar, tebal dan masih mengekalkan keunikan resepi dari Asia Timur berbanding murtabak Malaysia yang telah diberi sentuhan rasa tempatan.  Satu lagi impian telah tercapai dan ianya sesuatu yang amat manis untuk dikenang dan terbukti melalui  senyuman manis yang terzahir di wajah masing-masing.