Khamis, 23 November 2017

HATYAI THAILAND

HATYAI THAILAND


      Meneruskan perjalanan ke Hatyai, kami singgah di Nora plaza, yang menawarkan barangan kulit seperti tas tangan, talipinggang  dan lain-lain, seterusnya singgah pula di kedai yang menjual jajan/kudapan seperti gajus, pes tomyam, kerepek dan lain-lain.  


         Suasana malam di Klonghea Floating Market, sangat meriah dengan persembahan kebudayaan, nyanyian dan  lawak jenaka di samping  jualan makanan Thailand yang beraneka jenis.  


         Menariknya di sini, peniaga, berniaga di atas sampan dan segelintirnya memakai busana tradisional.  Makanan yang dibeli pelanggan pula, akan disi di dalam daun pisang yang dibentuk seperti sampan dan dihulurkan mengunakan galah yang berjaring, sungguh unik dan kreatif.     


       Malam masih bersisa, banyak gerai jualan di hadapan hotel Grand Plaza Hatyai masih beroperasi,  kami mencuba pulut mangga, durian dan beberapa makanan Thailand seperti pad thai dan lain-lain.  



         Pagi yang cerah, kami bersarapan di Tamrab Muslim Hatyai, yang menawarkan kepelbagaian makanan seperti set nasi minyak, roti canai, nasi kerabu, nasi dagang, kari hijau dan lain-lain,  sepanjang empat hari di sini, kami dapati sarapan pagi di Thailand sangat berat, sama seperti makan tengahari di Malaysia.   


                           Seterusnya, penamat pengembaraan, kami merasai pula pengalaman menaiki tuk tuk dan sempat lagi membeli belah menghabis Thai bath yang masih bersisa.   Kami juga singgah di 7 eleven untuk membeli susu pisang dan susu pekat manis yang dipek di dalam tiub berbanding di Malaysia yang dipek di dalam tin.   Walaupun percutian ini menyeronokkan, tapi tidak pula terlintas di hati kami untuk kerap mengulangnya sehingga terasa agak pelik bila bertemu rakyat Malaysia yang seakan ketagih kesini.   Kami tercari-cari apa istimewanya Hatyai, persoalan itu kami bawa pulang ke Malaysia.



GUA LE KHOA KOB, TRANG, THAILAND

        Selepas daftar keluar hotel, kami bersarapan pagi di restoran Bangnara Roti & Coffee,  yang juga menawarkan makanan pantai timur dan roti canai,  istimewanya nasi kerabu di sini, selain dari ulaman yang banyak, terdapat ikan bilis goreng garing yang di kisar kasar, kemudian ditabur di atas nasi kerabu, menjadikan makanan itu lebih perisa dan sedap.  
               Destinasi seterusnya kami singgah di Gua Le Khao Kob,  terletak di Huai Yot di Wilayah Trang, gua ini boleh diakses dengan perahu kayu bermuatan 5 – 6 orang.  Aktiviti ini , permulaannya sangat santai, seterusnya merupakan pengalaman seumur hidup yang sangat mencabar dan agak mengerunkan.   


Perahu menyusuri sungai sehingga sampai kemulut gua, dan kami diminta untuk merendahkan diri kerana bumbung gua yang rendah dipenuhi  stalagmite dan stalatit  yang berceracak.  


Perahu berhenti dan kami di bawa  berjalan di atas laluan yang disediakan untuk menikmati keindahan pelbagai formasi stalagmite dan stalatit,  ada yang berbentuk seakan-akan kaki gajah, aiskrim, payung, cendawan dan lain-lain.  
Peringkat terakhir pula, kami menaiki perahu semula dan diminta berbaring, kerana bumbung gua yang semakin rendah, dipenuhi batu berceracak yang mengerutu, dan rakyat tempatan pula mengelarnya perut naga.   
Suasana gelap dan dingin, hanya berpandukan cahaya lampu suluh, yang kedengaran cuma jerit pekik di dalam gua bergema, bersahut-sahutan,  menyebabkan hati tertanya-tanya apa yang terjadi,  perahu melalui laluan sempit semuat-muat perahu.  Gambaran perasaan waktu itu, hanya Allah yg tahu, terasa insaf dan beristighfar tanpa henti, umpama berada di dalam lubang kubur, gelap, sempit dan semakin jauh perahu masuk ke dalam, dinding gua semakin menghimpit dan  bumbung  gua yang mengerutu semakin rendah, sehingga adakalanya hanya berjarak seinci sahaja  dari badan dan muka.   Cahaya matahari yang menerobos melalui celahan dinding gua melegakan  kami,  menamatkan pengembaraan yang penuh cabaran.   
Nasihat penting untuk pelancong, supaya tidak mencuba aktiviti ini selepas hujan, kerana air sungai yang meningkat menyebabkan perahu akan santak ke bumbung gua dan boleh mengakibat kecederaan.

KRABI, THAILAND - PART II

         
KRABI, THAILAND - PART II

      Pasrah dengan hujan yang turun, masih sempat lagi kami berlari anak,  singgah digerai dihadapan hotel yang menjual pulut ayam dan berbagai gerai buah-buahan.  Kami sarapan pagi Di Chili Halal Food,  yang menawarkan makanan pantai timur Malaysia.  Manisnya pertemuan ini, kerana pemiliknya berasal dari Setiu, Terengganu tapi telah lama bermastautin di sini, bagai saudara, kami  dipelawa kerumahnya yang terletak dibelakang restoran  dan sebelum berangkat dibekal pula dengan limau Bali.  
 
      Destinasi pertama ialah menjelajah pulau Phi-Phi dan Maya Bay iaitu lokasi filem The Beach, akur dengan fenomena alam dan keadaan laut yang agak bergelora, Phaison, pemandu pelancong kami terpaksa menukar haluan destinasi ke pulau-pulau  berhampiran dan berteluk/lagun untuk tujuan keselamatan. 


        Walau agak kecewa, tapi aktiviti yang dijalankan di Pulau Loa La Ding, Pulau Phak Bia tetap sama dan pemandangan indah khazanah hutan yang masih terpelihara di pulau ini juga, tidak kurang hebatnya.  




        Persisiran pantai yang putih, laut yang hijau kebiru-biruan,berlatar belakangkan  deretan bukit batu kapur yang mengunjur ke laut, sangat memukau pandangan.   



            Kami bersnorkling di sebuah lagun berdekatan dengan Pulau Hong, lagun ini kering,  ianya akan dipenuhi air ketika air pasang/hujan, 


Selesai menikmati keindahan dan bersnorkeling kami di bawa  pula untuk menikmati makan tengahari di pulau Hong,

terdapat dua aktiviti boleh dilakukan disini, sama ada ingin bermandi manda atau meneroka Thanbok Khorani National Park.    


       Kembali semula ke Pantai Ao Nang, tidak sah rasanya jika ke Krabi, jika tidak cuba menikmati keenakan Pancake pisang coklat, nutela, strawberry dan beraneka perisa.  Deretan kedai urut, restoran, Pub, kedai cenderahati, SPA dan lain-lain banyak terdapat di Ao Nang  untuk tarikan pelancong.




























      Suasana malam di Krabi, sangat meriah, selepas makan malam di Rabeab’s Kitchen Inter-Buffet Halal, yang menawarkan BBQ, steamboat & makanan tradisi Thailand.  


          Kami singgah di pasar Malam Krabi, yang dibuka setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Suasananya hampir sama seperti di Malaysia, bezanya cuma terdapat persembahan jalanan seperti tarian rambong  dan gamelan yang dilakukan oleh sekumpulan kanak-kanak.   Banyak cenderahati dan tshirt krabi di jual di sini, harganya berpatutan dan lebih murah dari  yang dijual di Ao nang.

  

     

KRABI THAILAND - PART 1

KRABI, THAILAND - PART I

        Impian yang terpendam sekian lama untuk  merasai pengalaman menaiki ETS (Electric Train Servis)  ke Negara Gajah Putih, Thailand,   terlaksana jua akhirnya. Hebat juga pemandangan di utara Malaysia ini, panorama kebun-kebun bunga melor, sawah padi terbentang luas, berlatarbelakangkan bukit kapur yang dikelilingi kepulan awan putih, tasik luas terbahagi dua direntasi landasan ETS sangat memikat hati.  


        ETS tiba di padang Besar jam 12.35 tengahari, selesai pemeriksaan Imigresen, kami dijamu makan tengahari dengan masakan Thai seperti Tom Yam, Som Tam, paprik dan lain lain.  

        Pemandangan sepanjang jalan tidak banyak bezanya dengan Malaysia, oleh kerana Raja Thailand, baru saja mangkat, banyak terdapat  papan tanda  takziah di sepanjang jalan. 


















Arca gajah dan hidupan laut pelbagai gaya menyambut kehadiran kami di Trang Andaman Gateway, tiada sebarang bayaran dikenakan untuk memasuki taman yang persekitarannya  dikelilingi hutan ini, sangat sesuai untuk   singgah berswafoto,  melepaskan lelah sambil menikmati kopi dan kudapan ringan,   Jalan yang kami lalui menuju Krabi ini pula, di sebut  bukit kadpa/lipat kain kerana keadaan jalannya yang  berlipat-lipat dan banyak selekoh  umpama melipat kain. Selesai daftar masuk di Hotel Krabi town, kami turun semula untuk menjelajah persekitaran di sini, 
  

          kawasan di sini sangat strategik dan meriah, disebelah kanan hotel, pasar malam krabi, disebelah kiri,  kira-kira 100 meter pula, sungai krabi yang menawarkan pemandangan indah berlatarbelakangkan bukit kapur dan disini jugalah terletaknya ikon Krabi iaitu Arca Gangsa Ketam Batu bersama anak-anaknya.  
       Menelusuri sejarahnya,  mudahnya kami membuat andaian, perkataan Krabi diambil dari perkataan inggeris Crab, sebaliknya menurut lagenda, Krabi adalah pedang panjang  yang ditemui semasa  aktiviti pengalian, sebelum kota ini didirikan dan dari situlah Krabi mendapat namanya.  


          Lampu trafik di sini juga sangat unik, ada yang berbentuk king kong, anjing laut dan lain-lain, menambahkan lagi daya tarikan Krabi.