Jumaat, 23 Februari 2018

VIENNA, AUSTRIA

Destinasi seterusnya kami ke Vienna atau Wien dalam bahasa Jerman dan menginap  di hotel Karl-Wirt. Negara kelahiran pemuzik terkenal Mozart ini, merupakan  kota yang penuh dengan kesenian, muzik opera dan ibu negara Austria.  Menyelusuri sejarah Vienna, kami nikmati keindahan senibina bangunan bersejarah  seperti parlimen, opera house dan lain-lain melalui Ringstrasse iaitu lingkaran jalan yang mengelilingi Kota tua Vienna.    Bas berhenti di hadapan Maria Theresa Monument yang terletak di tengah-tengah di antara Muzium Kunsthistorisches dan Art History Muzium. 
            Kami meneruskan perjalanan ke Hofburg Imperial Palace yang menyimpan koleksi sejarah suka duka monarki Hasburg yang institusi berajanya telah  berakhir pada tahun 1918.  Di dalam istana  ini juga, terdapat Muzium Sisi iaitu muzium khas Pemaisuri Elisabeth/Sisi yang berasal dari Bavaria yang merupakan isteri King Franz Joseph I yang terkenal kerana kejelitaannya, personaliti yang menarik dan agak misteri.  Muzium ini  mempamerkan kira-kira 300 koleksi peribadi seperti pakaian, puisi, petua kecantikan  dan lain-lain. Sejarah hidupnya dari kecil, perkahwinan, penderitaan dan pembunuhannya, sangat menarik untuk dikaji.    
            Persekitaran ini juga bebas dari sebarang kenderaan bermotor, hanya boleh dijelajahi dengan berjalan kaki/menyewa kereta kuda yang dikendalikan oleh lelaki yang memakai busana seperti pemain polo kerabat diraja Eropah. Bagaikan explore race kami susuri jalan Kohlmarkt dan Graben yang merupakan  surga membeli belah, dipenuhi deretan butik-butik mewah seperti Burberry, Adidas, Bally, Gucci dan lain-lain.  Perkarangan Stephensplatz, iaitu gereja St Stephens yang unik dan bersenibina gothic yang terletak dipersimpangan jalan pula dipenuhi orang ramai, santai berbual sambil menikmati kopi yang sememang budaya orang Eropah.  Masa yang ada, kami manfaatkan sepenuhnya, terlalu banyak yang perlu di lihat dan dijelajahi, membeli belah bermakna kami kehilangan waktu meneroka keindahan  dan sejarah Vienna. 
            Selesai membeli sedikit cenderahati untuk kenangan, kami singgah di Pusat Islam Vienna, terletak dipersekitaran yang sangat tenang, di kanannya terdapat sungai yang mengalir jernih, kelihatan beberapa orang  penduduk sedang  berkelah dan memancing. Vienna pernah berada di bawah pengaruh kerajaan Turk Ottoman dan dari situlah Islam mula berkembang di sini. Diperkarangan dan di dalam pusat Islam pula dipenuhi orang kerana waktu itu baru selesai kelas agama, majlis pernikahan dan solat zuhur. 
Pengalaman dan memori indah sepanjang berada di Itali dan Vienna ini sangat berharga untuk dikenang dan  menambahkan lagi  warna dalam hidup kami apatah lagi  berpeluang bertemu ramai kawan-kawan baru.




VENICE, ITALY



Pagi yang sangat indah, sepanjang jalan menuju ke Jeti, kami disajikan pemandangan pergunungan Alps yang masih bersisa salji di kemuncaknya.  

Teruja, itulah gambaran perasaan kami, saat menikmati keindahan dikiri kanan feri, tidak puas-puas kami memotret kenangan, 




bangunan-bangunan antik  yang sangat indah senibinanya, berselang seli  dengan bangunan baru,  kapal-kapal persiaran dan vaporetti/teksi air menjadikan pemandangan lebih variasi.   Angin yang  bertiup  dingin menampar pipi sehingga terasa agak kebas, menyebabkan kami mengambil keputusan turun ke dek feri yang lebih hangat dan  bertutup.  
Pelancong masih belum ramai saat kami tiba  di venice  jam 9.30 pagi.  Selesai taklimat ringkas, kami dibawa ke kilang kaca/Kristal Murano yang terkenal dan berkualiti tinggi di Eropah.  
Peniup kaca sudah bersedia mempamerkan kepakaran sementara taklimat diberikan oleh wanita muda yang jelita.   
Berbagai barangan seperti topeng,  barang perhiasan wanita  dari kristal  yang gemerlapan indah dan barang perhiasan rumah dipamer dan dijual di sini,  buatannya sangat halus dan berseni, berpadanan dengan nilainya. 
Uniknya Venice/Venezia atau gelarannya kota cinta bagaikan memasuki sebuah mesin masa, kembali ke zaman silam, kami bebas berjalan tanpa rasa bimbang mengelak/melintas kerana tiada sebarang  kenderaan di sini.  

Jambatan kecil separuh melengkung dan bangunan-bangunan bersenibina lama yang kelihatan kusam dan antik, berjajaran megah di kiri kanan tebing terusan. 
Mengabadikan keindahan dan keunikan Venice, banyak pengambaran filem dilakukan di sini, salah satunya ialah filem The Tourist lakonan Angelina Jolie.   
Kami di bawa menaiki gondola yang berharga 80.00 untuk 6 orang sekali muatan, menyusuri terusan yang berkelok sempit,  merentasi jambatan Rialto yang sangat popular sehingga figuranya diabadikan di fridge magnet.  Sekali sekala kami menjerit kecil bila gondola berselisih dan hampir bertembung, tapi kemahiran mereka mendayung sangat kami kagumi.   
Kami singgah di beberapa kedai untuk membeli sedikit cenderahati, peliknya, cenderahati yang dijual di dalam kedai lebih murah berbanding yang dijual dikios-kios yang terdapat didataran.  
Meneroka Venice, kami dinasihatkan supaya berhati-hati, kerana terdapat beratus-ratus jambatan melengkong, terusan, deretan kedai dan pemandangan keseluruhannya hampir sama, menyebabkan kita keliru dan gagal mengenal pasti jalan keluar sehingga boleh sesat di dalamnya. 
            
Suasana di Dataran St Mark/Piazza San Marco, sangat meriah, dikelilingi bangunan bersejarah seperti San Mark ‘s Basilica, Doge Palace,  Menara Jam dan Caffe Florian iaitu kafe tertua di Eropah yang dibuka sejak tahun 1720.  

Kafe-kafe dipinggir dataran pula mempersembahkan secara langsung dendangan lagu  yang diiringi alunan muzik biola dan piano bagi menimbulkan suasana romantik, ditambah pula penyanyi/pemuziknya cantik dan kacak-kacak belaka,  berpakaian kemas sedondon iaitu berkemeja putih dan berkot hitam.  
Kehadiran begitu  banyak burung-burung merpati  yang jinak  sangat menarik perhatian dan berhati-hati dengan pemberian sedikit bertih makanan merpati ditapak tangan, kerana selepas itu dipaksa pula membayar 5.00 apatah lagi  memberi makan burung merpati di sini adalah dilarang. 

Dua euro diperlukan untuk bergambar dengan penghibur jalanan yang sanggup berjemur, mengecat muka/berbusana tradisional dan berjam-jam berdiri kaku seumpama patung demi mencari rezeki.
Kami singgah ke Pusat Islam Venice untuk makan tengahari/solat.   Emosi kami terusik, melihat beberapa orang anak muda pelarian Syria mengutip kotak makanan untuk dijual, lebih menyentuh hati bila mereka memakan baki makanan yang masih ada.  Derma kilat dibuat, sumbangan berupa wang dan makanan diberikan kepada mereka, sekurang-kurangnya, dapat mengurangkan kesempitan hidup mereka.  

Khamis, 22 Februari 2018

MILAN, ITALY

        
        Monumen  indah berseni dan penuh nilai sejarah menjadi tarikan  utama kami ke Itali.   Hujan renyai-renyai dan  cuaca sejuk mengigit  tulang  menyambut  kehadiran  kami  di bumi Milan, Itali.  
Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang  tiada pemandangan indah yang mencuri tumpuan, sekadar bangunan baru dan lama yang biasa-biasa saja.   




       Destinasi pertama kami ialah Castello Sforzesco, istana lama  yang  sangat  menarik  jika dikaji   sejarahnya, dibina  mengunakan batu  bata merah, mempunyai empat menara sudut dan sering dijadikan lokasi pengambaran filem.  

Pelukis tersohor,  Leonardo  da  Vinci  pernah berkerja  di sini  sekitar    tahun   1498   dan  lukisannya  yang  bermotifkan  hiasan  sayur-sayuran terpapar indah disiling istana ini.   
           Melawat  persekitaran istana ini adalah percuma, ada beberapa   bahagian  dari  istana  ini  di jadikan  muzium dan dikenakan  bayaran.   
Ramai kanak-kanak tadika/sekolah rendah datang melawat ke sini dan menariknya, seawal usia itu, mereka sudah didedahkan dengan sejarah dan budaya negara mereka. 
Kemudian kami menyusur keluar dari pintu gerbang sebelah kiri  yang dikawal oleh dua orang askar bersenjata,  

ramai pelancong bergambar dan duduk santai di tebing kolam air pancut sambil menyaksikan persembahan pemuzik, penyanyi dan pelukis jalanan.  
Seterusnya kami menyusuri deretan butik-butik mewah dan tiba di Galleria Vittorio Emanuele II iaitu arked membeli belah yang bercirikan senibina abad ke 19.  Arked yang  dinamakan sempena nama Raja Itali itu sangat terkenal dengan barang-barang berjenama terkenal seperti Prada, Louis Vuitton, Dior, Chanel dan lain-lain, sesuai dengan gelaran Milan sebagai Kota Fesyen.  
Memilih antara membeli belah atau menikmati keanggunan senibina bangunan terkenal, kami sekadar meneguk airliur melihat barang yang dipamerkan, kerana masa agak terhad, namun kami tetap bersyukur dapat menikmati pemandangan di bumi Itali ini.  
Bagi yang  gemar membeli belah, semasa membuat pembayaran, perlu menunjukkan pasport bagi mendapatkan tax refund. 
Suasana didataran Duomo Square yang dipintu masuknya juga dikawal askar bersenjata, sangat meriah,
dipenuhi ramai pelancong yang terpegun  dan mengabadikan keindahan karya seni arkitek zaman itu melalui lensa kamera mereka.   
Kagum kami melihat keupayaan arkitek silam membina  bangunan  yang  sebegitu hebat tanpa  peralatan canggih  Kami juga sentiasa diingatkan supaya berhati-hati, kerana terdapat ramai penyeluk saku  berkeliaran di sini.  
               Bertemu dan berbual mesra  dengan rakyat malaysia yang merantau kerana tuntutan ilmu sangat mengembirakan kami, apatah lagi makan tengahari yang bermenukan nasi putih, kari ayam, kobis goreng dan telor dadar ditempah khas dari mereka.  Kami makan tengahari sambil berkongsi momen indah ini bersama kanak-kanak Itali yang turut duduk bersila beralaskan rumput menghijau dan berlatarbelakangkan Istana lama.  Sekali sekala kami diganggu peniaga jalanan berbangsa Bangladesh/Afrika yang menjual aksesori wanita, powerbank dan monopod.    Bagi peminat bola sepak, mendengar nama A.C Milan dan Stadium San Siro  sudah cukup untuk menyegarkan minat mereka untuk berbicara mengenainya, walau hakikatnya sekadar melihat stadium yang nampak suram dan lama itu hanya melalui kaca jendela bas.  

Kembara kami di teruskan ke Venice dan daftar masuk di hotel  Russot yang terletak di sebuah kawasan perindustrian.    Usai membersihkan diri/solat kami dibawa untuk makan malam di sebuah restoran India yang menyajikan makanan yang sangat sinonim dengan rakyat Malaysia seperti nasi beriani, capati, tosei dan lain-lain.