Isnin, 19 Jun 2017

TOKOROA & HAMILTON - NEW ZEALAND

Sepanjang perjalanan keTokoroa, kami disajikan dengan ladang anggur, jagung dan ladang-ladang pokok pines. 
Tersergam gah patung seorang pemotong kayu dan beberapa arca ukiran kayu, melambangkan Tokoroa  sebagai bandar industri perkayuan.   

Kami singgah di kilang Sheep Skin di Putaruru yang menawarkan berbagai barangan dari kulit Biri-biri. Kekangan masa menyebabkan kami terpaksa melupakan hasrat untuk singgah di The New Zealand Timber Museum yang memaparkan sejarah bangunan dan peralatan yang berkaitan dengan industri perkayuan dan Blue Springs yang menawarkan pemandangan alam semulajadi Putaruru yang indah.
 Keputusan menaiki bas percuma mengelilingi bandar Hamilton merupakan keputusan yang tepat, bilamana kami dapat melihat budaya hidup penduduknya yang saling mengenali, bertegur sapa semasa di dalam bas yang mesra oku dan orang tua.

           Keunikan New Zealand yang mempamerkan kelainan budaya dan keindahan alam semulajadi merupakan  pengalaman manis yang sangat berharga untuk dikenang.


TAUPO - NEW ZEALAND






Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Taupo, selepas mendaftar masuk di Barcelona Motel, yang terletak hanya 5 minit berjalan kaki ke bandar Taupo, menyebabkan kebanyakan masa kami dihabiskan menyelusuri bandar dan membeli barangan cenderahati.  Makanan halal juga mudah didapati, terdapat sebuah kedai Turki dan restoran fish and Chip yang sangat sedap di sini.   





Bandar ini sangat tenang,  terletak dipersisiran tasek Taupo yang sangat indah, banyak tempat bersantai dan taman bunga di sediakan disini. Bagi yang ingin lari dari hiruk pikuk bandar dan mencari ketenangan, inilah tempatnya. Menariknya disini, semua meja dan bangku tertera nama penyumbang, sebagai salah satu usaha memeriah dan mengindahkan lagi tempat ini.  
Duduk-duduk, berbual santai sambil menikmati keindahan tasik dan matahari terbenam amat mengasyikkan.

Pagi ini kami di bawa menaiki Cruise, terpegun kami melihat  keluasan tasik dan dikejauhan, kelihatan berbalam-balam Gunung Ruapehu,   masih tersisa sedikit  snow cap di atas puncaknya.  Di fahamkan limpahan salji dari Gunung Ruapehu yang bertakung itulah yang membentuk Tasik Taupo, seterusnya mengalir ke sungai Waikato.   
Aroma muffin yang dibakar didalam cruise mencuri tumpuan, kami juga dijamu teh/kopi  sepanjang pelayaran yang memakan masa selama 1.5 jam itu.  
 Kemuncak pelayaran, kami dibawa melihat Ukiran batu  (Moari Rock Carvings), yang terletak di Mine Bay, ukiran tebingan batu berketinggian 10 meter ini dibuat oleh pengukir Moari iaitu Matahi Whakataka-Brightwell bersama empat orang sepupunya bagi memenuhi impian neneknya yang ingin mengabadikan seni ukiran kaum Moari untuk tatapan generasi seterusnya.  
Selain menikmati keindahan panorama,  aktiviti seperti berkayak jetski, kapal layar, helikopter dan memancing ikan trout juga boleh dilakukan di sini. 







Deburan sungai waikato yang berpunca dari Tasik Taupo mengalir deras melalui tebingan batu, membentuk Huka Falls yang berketinggian 11 meter dan  isipadu air yang mengalir  pula dianggarkan  kira-kira 220,000 liter sesaat, cukup untuk mengisi satu kolam renang bersaiz olimpik dalam masa 17 saat.   Hamburan airnya yang bewarna hijau kebiru-biruan itu pula dikatakan hampir setara dengan semburan paip pemadam api bomba, alirannya sangat deras dan mengagumkan.   



Berjalan santai, menaiki cruise atau berkelah di sini sambil menikmati keindahan alam semulajadi sangat menenangkan perasaan. 
Taupo Bungy Jump berketinggian 47 meter  ini adalah yang tertinggi  dan  berasal dari New Zealand.  Sebaik sahaja kami tiba di sini,  dua orang pelancong, baru sahaja selesai melakukan aktiviti tersebut. 

Walaubagaimanapun kekecewaan kami terubat bila melihat panorama yang sangat indah, pemandangannya bagaikan terbahagi dua, di hilir sungai, pemandangan perkampungan  dan di hulu sungai pula pemandangan alam semulajadi,  bagaikan sebuah lukisan alam, kami nikmati keindahannya.  


Paduan sungai  yang hijau kebiru-biruan , pohon pine dipinggir sungai, itik berenang, kanak-kanak bermandi-manda,  cuaca cerah.. serta semilir angin membuatkan kami kagum.. Subhanallah, sangat indah..!  


ROTORUA - NEW ZEALAND

Bau aneh iaitu bau sulphur yang berasal dari wap air yang masih meletus, memenuhi ruang udara Rotorua, yang khabarnya dibina di atas tapak gunung berapi yang tidak lagi aktif.  Selesai mendaftar masuk ke Pohutu Lodge Motel, kami bersiar-siar di sekitar motel untuk mengenali budaya dan cara hidup penduduk tempatan.  
Perkampungan ini sunyi dan kami merasa agak pelik kerana tidak bertemu langsung kanak-kanak/remaja yang bermain/ lepak di luar rumah seperti lazimnya di Malaysia.  Kebanyakan rumah di sini, dibina di atas tanah lot, bersenibinakan kedesaan Inggeris, tiada rumah teres apatah lagi flat.   

Menyelusuri kampung ini, kami berhenti di hadapan sebuah rumah kerana teruja melihat pohon limau gedang yang berbuah lebat dan ranum, tiba-tiba seekor kucing comel dan gebu berlari ke arah kami menyebabkan tuan rumah keluar, kami meminta izin bergambar, bagai orang mengantuk disorong bantal, kami diberi sebiji seorang, buah limau gedang (grapefruit) yang manis dan bersari,  
          Fizikal besar, tinggi dan berwajah garang, tidak melambangkan sifat sesuatu kaum.  Di sisi lain semangat manaakitanga (sifat ramah) mereka terzahir melalui sapaan kia ora dan senyuman yang tidak lekang di wajah. 
Lambang budaya, arca gerbang berukir menyambut kehadiran kami di Whakarewarewa Thermal Village.  
Bertujuan melindungi keluarga dari penceroboh ketika keluar berburu/berjuang, kaum Moari membina pintu dan tingkap rumah, lebih rendah dari fizikal mereka. Penceroboh terpaksa membongkok dan menundukkan kepala untuk masuk ke rumah, menyebabkan orang di dalam rumah sudah bersedia untuk mengetuk kepala penceroboh. 
Tradisi cara memasak juga sangat unik, makanan seperti sayur-sayuran, jagung, kentang, daging dan ayam diletakkan di dalam keranjang, dibalut dengan kain/guni basah kemudian dimasukkan ke dalam hangi ngawha (ketuhar semulajadi), tanah dan batu panas di geyser itu akan menyebabkan makanan itu masak secara semulajadi.   
Persembahan budaya  kaum  Moari dimulakan  dengan  upacara    menyambut     tetamu     diikuti    dengan     tarian whakarerewa     yang    diiringi     dengan    lagu  dan  muzik tradisional.   Tarian ini bertujuan untuk menaikkan semangat para pahlawan sebelum pergi berjuang.  

 Peluang   melihat   burung  kiwi   yang   hampir    pupus  di dalam   bilik   gelap   sangat  berharga,  burung  kiwi  yang  saiznya  sebesar  seekor ayam ini tidak boleh  terbang, tetapi boleh berlari selaju 35km sejam.

Menakjubkan!!! Itulah yang dapat dikatakan saat melihat ciptaan Allah ini, pohutu geyser Te Puia iaitu mata air semulajadi yang mendidih ini, boleh menyembur sehingga mencapai ketinggian 30 meter dan meletus sehingga 20 kali sehari, 
sementara kolam lumpur yang mengelegak seperti dodol di dalam kawah itu, khabarnya bagus untuk kecantikan kulit.  Banyak juga produk kecantikan berasaskan lumpur, dijual di kedai cenderahati di sini. 
             Terpegun kami melihat keindahan warna tasik air panas yang berwarna hijau kebiru-biruan dan disinilah dikatakan tempat pahlawan-pahlawan Moari berendam, menyuci diri sebelum pergi berjuang.  Demi untuk mendapatkan kekuatan/ semangat menahan wap panas tersebut, mereka akan menjerit sekuat-kuat hati sehingga terjelir lidah dan mata terbeliak, seterusnya ianya kekal menjadi tradisi sehingga kini.   
      

Selepas makan tengahari, kami berehat di Tasik Rotorua, ramai pengunjung berehat sambil menikmati pemandangan indah di sini.   



Bunga Ros pelbagai warna menyerikan kawasan di Rotorua Government Garden, selepas memotret kenangan, kami singgah di Park & Save, membeli buah-buahan segar dan coklat berjenama untuk di bawa pulang.  
Kekangan masa telah menyebabkan kami tidak sempat menikmati keindahan Redwood Forest.